10 Tip Menyusukan Bayi Pramatang

by - 6:30:00 am

10 Tip Menyusukan Bayi Pramatang | Semua bayi memerlukan susu ibu untuk perkembangan dan pertumbuhan yang optimum. Begitu juga dengan bayi pramatang. Bayi pramatang amat memerlukan susu ibu untuk menyokong perkembangannya. Semasa melahirkan putera sukung MD pada 15 Ogos 2016, usia kandungan MD baru sahaja mencecah 36 minggu. Lahir pada usia pramatang dengan berat hanya 2.2 kg membuatkan putera MD terpaksa dipantau untuk memastikannya tidak mengalami apa2 masalah kesihatan dan jangkitan kuman.

Tip Penyusuan Susu Ibu, Cara-Cara Menyusukan Bayi Dengan Betul, Bagaimana Memulakan Penyusuan Eksklusif?,

Bayi pramatang mengalami kekurangan zat-zat penting seperti kalsium, zat besi dan immunoglobulin yang sepatutnya diperoleh semasa trimester ketiga dalam kandungan. Oleh itu, susu ibu adalah satu-satunya cara terbaik untuk si kecil memperoleh kesemua zat penting tersebut. Namun tidak mudah untuk menyusukan bayi pramatang ini. Bayi pramatang menghadapi kesukaran untuk menyusu terus daripada ibu kerana otaknya belum matang untuk mengendalikan keupayaan menghisap dan menelan.


Jadi hari ini MD ingin berkongsi beberapa tip yang MD jumpa hasil pembacaan MD di internet tentang bagaimana untuk menyusukan bayi pramatang. Semoga bermanfaat! ^_^


TIP MENYUSUKAN BAYI PRAMATANG 

1. Buat teknik gavage feeding

Teknik gavage feeding digunakan dengan tiub dipasang dari hidung terus ke perut bayi. Biarpun kolostrum pekat, ia boleh mengalir ke perut bayi dengan bantuan daya graviti.

2. Perah susu berhampiran bayi
Lakukan proses memerah susu berhampiran dengan bayi anda. Sentuhan kulit ke kulit antara ibu dan bayi membantu dalam proses memerah susu. Jika duduk berasingan, susu sukar keluar.

3. Utamakan kebersihan
Oleh kerana bayi pramatang mudah terkena jangkitan, maka proses pengendalian susu perahan perlu mengutamakan aspek kebersihan. Setiap kali sebelum mengepam, tangan perlu dicuci dan selepas mengepam, susu perlu disimpan di dalam bekas yang bersesuaian.

4. Buat kaedah jagaan kanggaru
Melalui kaedah ini, ibu dan bayi akan bersentuhan kulit ke kulit dengan lebih kerap dan ini membantu mempercepatkan tumbesaran bayi. Ketika mempraktikkan kaedah ini, ibu perlu memakai baju yang berbutang di hadapan dan dibuka untuk meletakkan bayi di bahagian dada. Bayi pula hanya memakai lampin pakai buang agar lebih banyak permukaan kulitnya bersentuhan dengan kulit ibu. Selimutkan bahagian badan bayi agar bayi tidak kesejukan. Selain daripada ibu, ayah juga boleh melakukan kaedah ini.

5. Kosongkan payudara

Sebelum melakukan jagaan kanggaru, ibu perlu mengosongkan payudara. Ini bagi mengelakkan bayi tersedak susu sekiranya dia berupaya untuk menghisap susu secara langsung kerana susu mengalir deras.

6. Guna posisi bersesuaian

Sewaktu menyusukan bayi terus ke payudara, anda boleh menyusukannya sama seperti bayi normal. Tetapi disebabkan bayi pramatang terlalu lemah untuk menghisap dengan baik, ibu boleh bantu menggunakan posisi tertentu. Posisi pegangan silang buai atau cross cradle dan mendakap atau football hold paling kerap digunakan untuk menyusukan bayi pramatang.

7. Beri bantuan

Bayi pramatang perlu dibantu ketika menyusu kerana dia masih belum mampu bergerak sendiri untuk mencari puting payudara ibu. Begitu juga halnya dengan pelekapan. Mulutnya masih kecil dan memerlukan bantuan untuk memasukkan aerola ke dalam mulut.

8. Susu ibu akhir

Berat badan memainkan peranan penting menentukan tahap tumbesaran bayi pramatang. Penggunaan perahan susu akhir ibu (hindmilk) boleh membantu bayi pramatang cepat bertambah berat badan. Ibu perlu perah keluar susu awal (foremilk) terlebih dahulu dan simpan secara berasingan. Perahan susu akhir dikumpul dalam bekas dan dihantar ke hospital untuk bayi pramatang. Kandungan susu akhir mengandungi lemak, vitamin, protein dan tenaga yang lebih tinggi berbanding susu awal. 

9. Pam awal

Dalam minggu-minggu pertama, bayi mungkin belum bersedia untuk menyusu secara terus daripada ibu. Ini memberi peluang kepada ibu untuk mengumpul susu perahan.

10. Guna pam payudara berganda

Penggunaan pam payu dara berganda ternyata lebih efektif dalam membantu merangsang payudara dan menghasilkan susu dengan lebih banyak.

Bagi ibu-ibu yang melahirkan bayi pramatang, yakinlah yang ibu juga mampu memberikan susu ibu kepada bayi pramatang. Perlu yakin bahawa susu ibu amat sesuai dan adalah yang terbaik untuk memenuhi keperluan bayi. Jumlah susu yang sedikit sudah cukup untuk membekalkan khasiat kepada kesihatannya. Badan ibu akan menghasilkan dan memindahkan antibodi kepada bayi untuk meningkatkan sistem imun si kecil.


Untuk para suami, berikanlah sokongan kepada isteri anda untuk menyusukan bayi anda. Ini kerana sokongan daripada suami dan ahli keluarga rapat turut memainkan peranan penting dalam penyusuan eksklusif.



You May Also Like

0 Silent Hunter's Footprints