7 TIP UNTUK MENGELAKKAN THRUSH PADA BAYI

by - 12:39:00 pm

7 TIP UNTUK MENGELAKKAN THRUSH PADA BAYI | Bagi yang ada bayi tentu pernah berhadapan dengan situasi si manja asyik merengek dan menolak untuk menyusu atau makan dan minum. Bila tengok mulut penuh dengan 'putih-putih' di bahagian lidah dan lelangit. "Oh, rupanya anak aku sakit mulut. Patutlah tak nak menyusu."

Thrush
Image Credit To Google
Menurut Dr. Zabidi, jangkitan kulat di dalam mulut bayi dinamakan thrush. Banyak faktor yang menyebabkan jangkitan fungal berlaku. Pakar kanak-kanak memberitahu antara sebabnya ialah bayi belum ada keseimbangan hormon apabila dia mula mengeluarkan hormonnya sendiri.


Bagaimana Jangkitan Fungal Berlaku?

Ada beberapa punca berlakunya jangkitan fungal di dalam mulut bayi. Ibu yang menyusukan anak perlu berhati-hati menggunakan ubat antibiotik atau ubatan herba yang akan dipindahkan melalui susu ibu. Jika ibu mengambil ubat-ubatan tanpa nasihat doktor atau makan herba/jamu untuk melangsingkan badan, bayi yang minum susu ibu mudah dijangkiti thrush.

Kadangkala ada ibu tidak mengetahui yang bayinya sudah dijangkiti fungal atau thrush walaupun kerap menangis dan menolak untuk menyusu, makan dan minum. Ini kerana keputihan yang ada di dalam mulut sama dengan saki-baki susu yang diminum bayi.

Namun sebenarnya terdapat perbezaan antara keputihan akibat saki-baki susu dengan jangkitan fungal kulat pada lidah bayi. Saki-baki susu hanya menyebabkan keputihan di bahagian atas lidah sahaja. Tetapi jangkitan fungal thrush akan menyebabkan keputihan di seluruh bahagian dalam mulut bayi seperti lidah, lelangit dan bahagian pipi dalam.

Keputihan di dalam mulut yang dialami oleh bayi akan menyebabkan kesakitan kerana ada bengkakan (radang) di kawasan yang dijangkiti. Akibatnya bayi akan menangis kerana sakit semasa menyusu susu ibu atau susu formula.


7 Tip Mengelakkan 'thrush' Pada Bayi:-

  1. Beri air masak selepas menyusukan bayi (sesuai untuk bayi umur 6 bulan ke atas sahaja). Ia akan menanggalkan saki-baki susu yang mungkin tertinggal di kawasan mulut. Jika tidak dibersihkan ia memudahkan berlaku jangkitan fungal.
  2. Bersihkan puting payudara ibu sebelum menyusukan anak. Puting yang lembap di dalam bra memudahkan berlaku jangkitan fungal.
  3. Bersihkan puting botol susu bayi menggunakan air yang mendidih sekurang-kurangnya dua kali seminggu.
  4. Jika puting payudara ibu merekah, jangan sapukan krim antibiotik kecuali atas nasihat doktor. Dibimbangi bayi akan menyusu pada puting yang disapukan ubat tanpa disengajakan.
  5. Sekiranya bayi tidak sihat, pemberian antibiotik kepadanya mestilah atas nasihat doktor. Ini kerana penggunaan antibiotik yang terlalu lama juga boleh menyebabkan jangkitan ini.
  6. Jika ibu sakit dan menyusukan bayi, beritahu doktor tentang hal ini kerana ada sesetengah antibiotik boleh sampai ke bayi melalui susu ibu.
  7. Gunakan teknik membersihkan keputihan di dalam mulut bayi menggunakan sapu tangan yang dibasahkan secara perlahan-lahan. Jangkitan fungal thrush susah ditanggalkan, jika ia tanggal kemungkinan meninggalkan luka atau sedikit pendarahan. Jadi, berhati-hati semasa membuat teknik pembersihan ini.



Masalah thrush tidaklah sehingga menyebabkan kematian, cuma ia akan membuatkan bayi kerap menangis dan tidak mahu menyusu. Ini akan meningkatkan risiko dehidrasi pada bayi seterusnya bayi akan mengalami demam. Sebagai ibu bapa, sudah tentu kita akan berasa kasihan dan penat menjaga bayi yang meragam dan menangis kesakitan.

Jadi sekiranya tidak pasti sama ada bayi mengalami jangkitan fungal atau hanya keputihan biasa akibat saki-baki susu yang tertinggal, adalah lebih baik bawa berjumpa doktor untuk pemeriksaan. Biasanya doktor akan memberikan ubat anti fungal yang dititiskan ke dalam mulut bayi. Bagi bayi yang menyusu susu ibu, ubat boleh disapu ke puting payudara ibu sebelum menyusukan bayi. 

Diharap perkongsian ini bermanfaat untuk para ibubapa. Sekian dulu untuk hari ni. Jumpa lagi dalam next entri. Xoxo!



*Credit : Majalah Pa&Ma (Sumber: drzubaidi.com)





You May Also Like

0 Silent Hunter's Footprints